Penghakiman Danny Anthony Andipai

Pada 18 September 2008,Mahkamah Pilihan Raya / Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu iaitu Hakim David Wong Dak Wah membatalkan kemenangan tanpa bertanding Joseph, selepas Danny memfailkan petisyen pada 9 April 2008. Penolakan kertas pencalonan adalah salah dan melanggar hak perlembagaan petisyen untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya itu dan undang-undang bertulis berkaitan pengendalian pilihan raya itu. Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya Sabah telah menerima borang penamaan calon . Tetapi Pegawai Pilihan Raya, Bubudan OT Majalu menolak kertas pencalonan itu atas alasan tidak terdapat sebarang bantahan semasa tempoh bantahan.Penghakiman itu sepatutnya dibuat pada 17 September 2008 tetapi dipercepatkan ke 8 September 2008.

Pada 24 Feb 2008 jam 9.35 Danny Andipai tiba di pusat penamaan calon di Dewan Majlis Daerah Nabawan untuk memfailkan kertas pencalonannya bagi kerusi Pensiangan. Selepas membayar deposit sebanyak RM15,000, Danny Andipai menunggu gilirannya tetapi apabila beliau cuba menyerahkan kertas pencalonannya, Bubudan enggan menerimanya atas alasan beliau lambat menyerahkannya. Danny Andipai berhujah bahawa ia bukan kesalahannya tetapi Bubudan dan kakitangannya dan selepas gagal menyakinkan Bubudan, beliau berkata akan membuat laporan polis.

Bsagaimanapun semasa perbincangan sedang berlangsung, seorang daripada penolong pegawai pilihan raya, Osman Aganduk, mendapatkan nasihat daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri yang memberikan arahan supaya menerima kertas pencalonan itu. Arahan itu diberikan oleh timbalan pengarah SPR Sabah, disampaikan kepada Bubudan yang kemudian menerima kertas pencalonan Danny Andipai dengan masa diterima disahkan pada 10.25 pagi.

Bantahan ditutup pada 11 pagi dan pada kira-kira 1.25 tengah hari, Bubudan mengumumkan Kurup menang tanpa bertanding dan mengisytiharkan pemilihan beliau atas alasan kertas pencalonan Danny Andipai dan seorang calon Bebas, Saineh Usau, diserahkan selepas pukul 10 pagi. Amat sukar dipercayai yang Bubudan tidak tahu seperti didakwanya, bahawa kupon yang mempunyai nombor diberikan kepada para calon pada hari berkenaan. Ini hanya mencerminkan kelemahan dirinya selaku pegawai pilihan raya yang bertanggungjawab penuh di pusat penamaan calon. [3]